Pada ketika kau hembuskan kata-kata cinta pada teligaku, itulah antara saat-saat manis dalam hidupku bersamamu. Ingatkah engkau pada hari pertama kita bertemu? Sudah pasti engkau masih ingat akan ia. Ketika itu kau dan aku sering bertelingkah, kerap benci membenci. Di mata ku engkau adalah seorang pelayan restoran yang angkuh manakala engkau pula melihat ku sebagai seorang tukang masak yang ego. Engkau tidak ingin melihat muka ku apabila berada di dalam dapur dan makanan yang aku buatkan untuk para perkerja yang lainya langsung tidak engkau jamah. Kadangkala kalau aku mengingatinya kembali, terukir senyuman pada wajah ku. Perasaan benci antara kita berdua mula tenggelam bersama waktu. Hari demi hari aku mencuba untuk memahami dirimu dan engkau pula dapat aku merasakan ada perubahan pada hubungan kita berdua. Di situlah bibit cinta mula berkembang. Hari kian berlalu dan perasaan ku mula tidak menentu. Setiap kali aku berkerja seakan tidak sah kalau tidak melihat senyuman mu yang menarik hati. Lesung pipi yang ada pada kedua pipi mu sungguh indah dipandang. 17 May adalah hari dimana kita saling melafazkan perasaan cinta yang terpendam . Namun hari ini dengan tarikh yang sama genaplah tiga tahun engkau tiada dalam hidup ku. Kemana hala tujunya janji kita berdua dulu? Setiap tahun pada tarikh ini,aku akan berada di pantai Puteri Sentosa. Kerana di sinilah kami melafazkan ikhlasnya hati kita berdua. Aku di sini untuk mengenangkan kembali kisah kita dengan menyimpan harapan agar engkau juga akan kembali ke mari. Setalah engkau pergi untuk menyambung pembelajaran mu ke luar negara, hatiku amat berat untuk melepaskan dirimu. Pada awalnya kita sering berhubungan melalui telefon dan semakin lama semakin jarang kita menanyakan khabar masing-masing. Setelah itu engkau hilang begitu saja tanpa berita. Hari bertukar menjadi minggu dan minggu pula bertukar menjadi bulan. Alangkah merananya hatiku seolah-olah meronta kesakitan. Aku memberanikan diriku untuk bertemu dengan keluargamu tetapi apa yang aku lihat pada hari itu adalah acara pernikahan sedang berlangsung. Hatiku bertambah luka dan air liur juga terasa amat pait untuk ku telan apabila melihatmu menikahi jejaka lain. Mataku tidak sanggup melihat suasana demikian apatah lagi hatiku ini. Mulai hari itu tiada lagi ku dengar khabar berita dari mu. Engkau menghilang dalam hidupku bagai debu yang ditiup. Senja kian menjelang, kelibatmu masih tiada jua di sini. Mungkin engkau sudah lupa pada ku. Di hujung sana aku melihat pasangan bersama anak kecil mereka sedang asyik bermain dengan gembiranya. Aku berdoa agar hidupmu seindah mereka malahan lebih baik dari apa yang aku lihat. Semoga saja rindu ku ini sampai kepadamu melalui bayu nan selembut sutera kerana cinta ku ini bagai titik yang panjang.
OLEH: M.N.ABDULLAH @ KARMA JUMANTARA
No comments:
Post a Comment