Friday, 23 November 2012

Jalan yang kita tuju


Lidahku kelu
Meluahkan kata-kata
Yang tersimpan dalam dada.

Biar usia merangkak
Asal jalan kita tuju sama
Itulah penghujung kita.

Redup hati yang bergelora
Tangan tak tercapai
Impian hancur berderai
Siapalah aku.

Kebas jari jemariku
Menggengam seribu harapan
Namun semuanya tinggal kenangan.

Detik waktu akan melangkah
Meninggalkan bayangan masa silam
Kini diriku dan dirimu hanyalah sebuah khayalan.

Thursday, 22 November 2012

Titik penghujung


Aku leraikan segala kekalutan di dada
Demi kasih dan sayang
Di taman ini kisah kita bermula
Lembaran demi lembaran kita hiasi bersama
Setiap detik yang berlalu
Aku keseorangan ditemani hati yang merindu.

Bila malam hadir
Ia mengundang keresahan
Bila siang menjelma
Ia bagai kehilangan makna
Di sisiku masih terpapar potret wajahmu
Di dadaku tersimpan seribu persoalan kepadamu.

Lembaran yang kita singkap berdua
Rupanya semakin pudar
Tiada makna tiada kiasan
Apa yang ada cuma titik nokhtah
Akhirnya sampai jua ke penghujungnya
Sebuah cerita yang bertitikan cinta yang belum pasti.

Friday, 9 November 2012

Kita akan pulang


Kita ini sudah di puncak waktu
Dunia sejagat semakin senja
Hayat kehidupan terlerai satu persatu
Tapi manusia masih mengejar pangkat dan harta.

Bila di sana nanti
Engkau dan aku tidak pernah kenal di dunia
Di sana nanti semua membawa diri
Apa yang tinggal hanya dosa dan pahala.

Di sini kita berpakaian indah megah
Di sana pula tiada Seurat benang
Di sini engkau seorang yang gagah
Di sana pula engkau tidak dipandang.

Senja semakin hilang
Malam kini membuka tirai
Kita masih dibuai mimpi yang kosong
Tanpa disedari pintu sudah tertutup rapat.

Bukan jubah yang akan menilai kita
Bukan katayap yang menjadi saksi kita
Tapi amalan yang ikhlas kerana-Nya
Bukan kerana manusia.

Kita semua akan pulang
Jasad ini akan hilang
Di sini kita berjuang
Di sana nanti kita di buang.

Perjalananku

Jalan ini sudah luas terbentang
Aku melangkah mencari sebuah makna
Tapi jalan itu semakin panjang.

Biar orang lain mengata
Aku seorang anak dagang
Tapi aku tidak akan terasa.

Ibu sudah tiada di sisi
Kini aku keseorangan
Tapi siapa yang simpati.

Inilah hidup Si Penyalambau
Asal jangan macam Si Perigis
Asyik mencari kesempatan dalam kesempitan

Jalan ini penuh batu yang tajam
Setiap langkah amat menyakiti
Tapi itulah cahaya menyinari kegelapan malam.

Detik yang berlalu tidak akan kembali
Perjalanan ini amat disesali
Kerana awalnya aku yang mengundang bencana.

Hidup mana yang tidak berdosa
Nyawa mana yang tidak akan mati
Tapi aku juga manusia.

Aku bosan dengan janji manis
Indahnya bak puisi
Tapi ia bagai angin yang melintas.

Jalan ini tidak akan terhenti
Selagi nafas masih ada
Tapi semuanya kehendak Illahi.

Aku tidak ingin kekayaan
Miskin jua aku enggan
Tapi aku mahu hidup sederhana penuh kerahmatan.

Tenanglah ibu nun jauh di sana
Anakmu ini akan terus melangkah
Tapi iringiku keberkatan yang sedia ada.