Sunday, 11 March 2012

Aku Fathur Satriawan: Bahagian ketiga


Tiada yang pasti sehingga kita melihat dan merasainya. Aku sering mendengar cerita yang disampaikan oleh mereka yang pulang dari rantauan. Ada diantara mereka yang dahulunya pergi berbekal wang hasil gadaian rumah atau tanah, sekembalinya membawa hasil yang lumayan cukup untuk hidup hingga ke anak cucu. Aku iri kepada mereka yang berjaya. Aku menanyakan soalan pada diriku sendiri kapankah aku akan merasa nikmatnya hidup mewah yang jauh dari belenggu kemiskinan. Aku tidak mengeluh tetapi aku mengenangkan anak berserta isteriku. Nurhadi seorang rakanku telah mempelawa aku untuk mencuba nasib di rantauan. Pada mulanya aku keliru dan berasa takut. Takut kerana di negaraku sendiri pun aku sudah hidup miskin apatah lagi jika aku yang berada di seberang mengadai rezeki dan nasib. Aku terpaksa memikirkan hal ini berbulan-bulan lamanya. Sehinggakan keluargaku menegur akan perubahan yang ketara itu. Aku suarakan niatku itu kepada Kartini isteriku dan juga Yuli. Memang seperti yang aku duga, mereka tidak rela aku pergi meninggalkan mereka berdua. Tapi aku nekad untuk pergi jua demi mencari rezeki. Aku titipkan mereka kepada saudara terdekatku. Sebelum aku melangkah pergi aku telah berjanji akan pulang membawa hasil yang lumayan. Segala perbelanjaan penerbangan dan kenderaan aku perolehi dengan mengadai rumah dan ternakanku sendiri. Dalam erti kata lain, aku pergi meninggal tanah air sehelai sepinggang sahaja. - Fathur Satriawan

No comments:

Post a Comment