Thursday, 28 October 2010
Cerita hidup antara dua zaman
Aku masih ingat sebuah cerita yang disampaikan oleh Allahyarham ayahku. Cerita yang akan aku ceritakan ini agak misteri dan mungkin sukar untuk diterima akal, namun bagiku jika Allah mengizinkan sesuatu itu dilaksanakan maka terlaksanalah ia tanpa bantahan. Pada sekitar tahun 70-an, anak-anak muda pada ketika itu jauh lebih berbeza dari sekarang. Azman dan kawan baiknya Roslan bercadang hendak pergi berkelah di pantai bersama dengan rakan-rakan mereka yang lain. Tepat pada hujung minggu,mereka pun secara berkumpulan pergi ke pantai dengan rasa girang. Cuaca pada pagi itu agak panas tetapi Azman dan yang lain-lain tidak menghiraukanya. Setelah menjumpai tapak yang sesuai untuk berkelah, mereka pun mula membuat persiapan untuk menyalai makanan dan sambil itu Roslan menyembelih seekor ayam yang dibawanya. Sementara Azman menunggu persiapan mereka semua,dia merasa kepanasan dan tanpa membuang masa dia pun berenang. Keadaan air pada waktu itu memang sejuk dan semakin jauh Azman berenang bertambahlah sejuknya. Apabila dia berpaling untuk melihat ke daratan, alangkah terkejutnya Azman apabila mendapat tahu yang dia telah berenang terlalu jauh. Lantas Azman pun mula berenang menuju ke daratan dan dia melihat Roslan bersama dengan rakan-rakanya yang lain sedang sibuk dengan hal masing-masing. Pada ketika itulah Azman merasa yang pergelangan kakinya seperti digengam oleh sesuatu. Azman pun meronta-ronta dan menjerit meminta tolong tetapi tiada siapa yang mendengarnya. Dengan derasnya Azman ditarik ke dalam air seakan menuju ke dasar laut. Pada ketika itu Azman merasa ajalnya sudah sampai namun didalam pergelutan tersebut, Azman di selamatkan oleh seseorang. Dia di bawa kembali ke persisiran pantai oleh lelaki itu tetapi Azman telah tidak sedarkan diri. Selang berberapa hari barulah Azman terjaga dan mendapati dia berada di sebuah rumah. Pada masa itu,seorang lelaki tua bersama dengan wanita muda menghampiri Azman dan mengatakan yang dia telah menyelamatkan Azman dari mati lemas manakala anaknya telah merawatnya selama berberapa hari. Rupanya Azman berada disebuah kampung yang lama. Keadaan sekilingnya seolah-olah seperti di zaman neneknya. Semua rumah di kampung itu rata-rata diperbuat daripada kayu dan tiada kemewahan dilihatnya. Azman bercadang ingin pulang ke rumahnya tetapi dia sendiri pun tidak tahu ke mana harus ditujunya kerana perbatasan kampung itu adalah hutan yang tebal dan sudah pasti akan sesat olehnya. Mulai hari pertama Azman berada di kampung itu, dia menjadi seorang yang pendiam kerana didalam fikiranya timbul pelbagai persoalan yang terlalu sukar baginya untuk jawap. Musim berlalu dan padi pun mula menguning, Azman pun sudah terbiasa dengan kehidupan kampung dan mula lupa dengan hajatnya ingin kembali ke ibu kota kerana hatinya sudah terpaut dengan anak gadis lelaki tua yang telah menyelamatkanya satu ketika dahulu dan akhirnya sampailah mereka berdua kejinjang pelamin. Kehidupan mereka bahagia sehinggakan Azman dikurniakan dengan seorang anak. Waktu berlalu dengan cepatnya,rambut Azman yang dulu hitam mula beruban dan garisan di wajahnya kian ketara. Keadaanya sudah agak tua namun dia masih lagi setia tinggal di kampung itu bersama keluarga dan anaknya yang sudah meningakat dewasa. Pada satu hari sedang Azman berada di lautan untuk menangkap ikan, pukatnya telah tersangkut dan ianya menarik dengan kuat. Azman tidak tahu apakah ianya seekor ikan yang besar ataupun tersangkut dicelah-celah terumbu tetapi benda yang tersangkut itu membalas tarikan pukat Azman dan secara mengejut Azman tercebur ke dalam air. Dia melepaskan pukatnya itu kerana ingin naik semula ke perahunya tetapi sekali lagi pergelangan kakinya digenggam oleh sesuatu dan menariknya ke dalam air. Azman tidak berdaya melawan kerana badanya sudah merasa lemah. Azman mengucap dua kalimah shahadah dan menyerahkan segalanya kepada Allah. Azman mengejam matanya sambil membiarkan dirinya dibawa ke dasar laut tetapi sekali lagi dia telah diselamatkan oleh seseorang. Apabila dibawa kembali ke persisiran pantai, dia merasa terkejut dan tidak percaya dengan apa yang dilihat di depan matanya. Apa yang dilihatnya adalah Roslan, kawan baiknya. Azman merasa kelainan pada badanya dan melihat ke dalam bayangan air wajahnya. Bertambah hairan Azman dibuatnya kerana wajahnya kembali muda. Azman memeluk Roslan sambil bertanya di manakah isteri dan anak Azman. Roslan ketawa mendengar akan pertanyaan Azman itu dan tidak mengendahkanya kerana mungkin baginya Azman bergurau tetapi hakikat sebaliknya. Sejak hari itu Azman memikirkan adakah yang dialaminya itu suatu khayalan ataupun kenyataan. Azman tertanya-tanya apakah khabar isteri dan anaknya. Tapi dia cuma berdiam diri dengan persoalan yang tidak mungkin ada jawapanya. Azman mula berubah menjadi seorang yang warak berugama dan akhirnya beliau menjadi seorang guru dan imam di sebuah mesjid. Hingga ke akhir hayatnya tiada jawapan yang dapat ditemuinya, cuma yang dia tahu adalah semuanya kehendak Allah. Cerita pengalaman Azman ini diceritakan kepada anak muridnya yang lain dan akhirnya sampai kepada Allahyarham ayahku.Cuma watak Azman dan Roslan di dalam cerita ini aku gubah supaya pembaca memahaminya. Aku pun tidak tahu kesahihan cerita ini tetapi apa yang dapat aku belajar darinya ialah, Allah mempunyai cara yang aneh untuk menyedarkan umatnya yang telah lupa akan-Nya dan mungkin dengan cara ini dapat membuktikan kekuasaan Allah itu nyata dan apa yang dikatakan di dalam al-quran,sekiranya Allah mengkehendaki sesuatu itu terjadi maka jadilah ia. Terima kasih.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment