
Ini adalah cerita tentang seorang insan yang bernama Ali Abtar. Cerita ini bermula di suatu daerah di negara kita yang mana menjadi tempat tumpuan pelancung. Di sinilah Ali Abtar selalu menjalan perniagaannya sebagai seorang penjual aiskrim. Setiap hari apabila ada pelancung dari luar negara datang ke daerah ini,sudah pasti yang pertama sekali akan mereka lihat adalah wajah dan senyuman Ali Abtar. Senyumannya yang bagai mengalu-alukan kedatangan siapa saja selalu mendapat sambutan yang mesra. Namun disebalik senyuman Ali Abtar itu dapat aku lihat ada sesuatu yang dipendamnya. Dia seorang lelaki lingkungan 40-an yang mempunyai kulit berwarna gelap dan tinggi lampai. Tidak ramai orang mengetahui di mana dia tinggal dan dari mana asal usulnya kerana rupa dan fizikal yang ada padanya itu selalu saja orang akan menganggapnya orang berbangsa luar. Walaupun begitu Ali Abtar tidak menghiraukan apa pendapat orang ramai tentangnya. Setiap hari dia akan melayan orang ramai dengan senyumannya sambil menjual dagangannya sehingga waktu malam menjelma. Dalam diam aku berkata kepada diriku yang mana ingin mengekori Ali Abtar untuk melihat sendiri di mana tempatnya tinggal. Tepat jam 7 malam aku membuntuti Ali Abtar dengan berjalan kaki tanpa disedarinya. Dia tidak mempunyai kereta cuma sebuah basikal tua yang dilengkapi dengan alat jualan aiskrimnya. Setelah hampir 30 minit mengekorinya, Ali Abtar berhenti di suatu tempat yang mana kawasannya agak sunyi dan berhampiran dengan tebing. Aku bersama dengan kecurigaanku menyusup masuk dicelah-celah lalang yang ada menuju ke tempat Ali Abtar. Apa yang aku temui adalah sebuah rumah kayu yang berada dalam keadaan uzur dan di sanalah Ali Abtar menyimpan basikalnya. Aku bersembunyi bagai pencuri namum entah kenapa pada malam itu aku tidak merasa tenteram. Ali Abtar masuk ke dalam rumah tersebut dan tidak lama selapas itu aku melihat dia menggendong seorang wanita tua keluar menuju ke tebing sungai lalu memandikannya. Oleh kerana keadaan kawasan yang gelap aku pun meninggalkan tempat itu. Dalam perjalanan pulang persoalan demi persoalan bermain di kepalaku kerana ingin tahu siapa wanita tua yang berada di rumah Ali Abtar. Selama seminggu aku cuba melupakan kejadian tersebut tetapi tidak semudah itu kerana aku selalu saja akan bertembung dengan Ali Abtar di jeti apabila ingin berkerja di bandar. Aku pun memberanikan diri ini untuk menanyakan keraguanku itu kepada Ali Abtar. Keesokan harinya kebetulan juga hari itu adalah hari ahad, aku mengorak langkah ke jeti tetapi apabila aku sampai di sana kelibat Ali Abtar tidak kelihatan olehku. Aku mencarinya di kawasan jeti tetapi masih juga tidak aku temui. Aku beranggapan mungkin kerana hari ahad itu Ali Abtar berehat dan aku pun terus saja pulang ke rumah. Selama tiga hari aku tidak melihat Ali Abtar berjual aiskrimnya di jeti dan aku tertanya-tanya apakah yang telah berlaku kepadanya. Pada petang itu apabila aku sampai saja di jeti daripada selesai bertugas di bandar, aku pun memandu keretaku menuju ke rumah Ali Abtar. Aku melihat Ali Abtar berada di luar rumahnya dan kelihatannya dia sedang ingin pergi ke suatu tempat. Setelah salamku dijawab olehnya,aku pun bertanya kepada Ali Abtar kenapa dia tidak lagi berniaga di jeti. Dengan wajah yang agak sedih dia pun berkata kepadaku yang ibunya sudah meninggal dunia berberapa hari yang lalu dan oleh kerana itu dia tidak berniaga di jeti. Rupa-rupanya wanita tua yang aku lihat tempoh hari itu adalah ibu Ali Abtar yang didalam keadaan sudah uzur. Selepas itu Ali Abtar pun berpaling dari pandanganku dan berjalan menuju ke simpang keluar rumahnya. Aku melihat ke arahnya dan bertanya ke manakah akan dia tuju. Sambil tersenyum Ali Abtar berkata yang dia ingin mencari keredaan Allah. Aku terpaku mendengar kata-kata itu dan Ali Abtar mula meninggalkanku dalam penuh misteri. Sejak hari itu berlalu, tiada lagi aku melihat senyuman Ali Abtar di jeti itu. Ke manakah dia telah menghilang? Adakah nasibnya serupa seperti dulu? Fikiranku masih lagi bercelaru. Walaupun ianya sudah lama berlalu tapi aku faham akan ketaatan Ali Abtar kepada ibunya. Seandainya aku dan semua umat manusia itu mempunyai sifat sedemikian,sudah pasti ianya adalah satu kebaikan yang tiada nilainya.
No comments:
Post a Comment