Monday, 19 January 2015

KEMBARA DALAM HUJAN



Hujan telah pun turun
Ia membasahi setiap penjuru bumi
Tiada yang terselindung daripadanya
Kecuali seorang kembara jalanan
Bersamanya adalah catatan Rumi
Menceritakan riwayat ahli sufi yang sudah tiada.

Katanya semua yang dilihat ada akarnya
Meski rupa bentuk akan bertukar wajah
Namun isi hati di dalamnya tak akan pernah berubah

Pada hujan yang semakin kuat
Angin yang menjemput sang badai
Sejuknya menusuk ke dalam tulang menulang
Wahai kembara di bumi yang sarat
Genggam erat apa yang telah kau semai
Pada pangkalnya tiada yang bernasib malang.

Katanya kerana cinta segalanya akan ada
Dan kerana cinta
Apa yang tiada akan tersedia ada

Percayalah wahai kembara
Kifarahmu itu hanyalah cobaan
Padanya ada kemuliaan
Maka cintailah semuanya pada setiap saat yang ada
Ketepikan nafsu dunia yang tak bertuhan
Kecapilah tujuanmu untuk mencari keteguhan iman.

No comments:

Post a Comment