Thursday, 22 November 2012

Titik penghujung


Aku leraikan segala kekalutan di dada
Demi kasih dan sayang
Di taman ini kisah kita bermula
Lembaran demi lembaran kita hiasi bersama
Setiap detik yang berlalu
Aku keseorangan ditemani hati yang merindu.

Bila malam hadir
Ia mengundang keresahan
Bila siang menjelma
Ia bagai kehilangan makna
Di sisiku masih terpapar potret wajahmu
Di dadaku tersimpan seribu persoalan kepadamu.

Lembaran yang kita singkap berdua
Rupanya semakin pudar
Tiada makna tiada kiasan
Apa yang ada cuma titik nokhtah
Akhirnya sampai jua ke penghujungnya
Sebuah cerita yang bertitikan cinta yang belum pasti.

Friday, 9 November 2012

Kita akan pulang


Kita ini sudah di puncak waktu
Dunia sejagat semakin senja
Hayat kehidupan terlerai satu persatu
Tapi manusia masih mengejar pangkat dan harta.

Bila di sana nanti
Engkau dan aku tidak pernah kenal di dunia
Di sana nanti semua membawa diri
Apa yang tinggal hanya dosa dan pahala.

Di sini kita berpakaian indah megah
Di sana pula tiada Seurat benang
Di sini engkau seorang yang gagah
Di sana pula engkau tidak dipandang.

Senja semakin hilang
Malam kini membuka tirai
Kita masih dibuai mimpi yang kosong
Tanpa disedari pintu sudah tertutup rapat.

Bukan jubah yang akan menilai kita
Bukan katayap yang menjadi saksi kita
Tapi amalan yang ikhlas kerana-Nya
Bukan kerana manusia.

Kita semua akan pulang
Jasad ini akan hilang
Di sini kita berjuang
Di sana nanti kita di buang.

Perjalananku

Jalan ini sudah luas terbentang
Aku melangkah mencari sebuah makna
Tapi jalan itu semakin panjang.

Biar orang lain mengata
Aku seorang anak dagang
Tapi aku tidak akan terasa.

Ibu sudah tiada di sisi
Kini aku keseorangan
Tapi siapa yang simpati.

Inilah hidup Si Penyalambau
Asal jangan macam Si Perigis
Asyik mencari kesempatan dalam kesempitan

Jalan ini penuh batu yang tajam
Setiap langkah amat menyakiti
Tapi itulah cahaya menyinari kegelapan malam.

Detik yang berlalu tidak akan kembali
Perjalanan ini amat disesali
Kerana awalnya aku yang mengundang bencana.

Hidup mana yang tidak berdosa
Nyawa mana yang tidak akan mati
Tapi aku juga manusia.

Aku bosan dengan janji manis
Indahnya bak puisi
Tapi ia bagai angin yang melintas.

Jalan ini tidak akan terhenti
Selagi nafas masih ada
Tapi semuanya kehendak Illahi.

Aku tidak ingin kekayaan
Miskin jua aku enggan
Tapi aku mahu hidup sederhana penuh kerahmatan.

Tenanglah ibu nun jauh di sana
Anakmu ini akan terus melangkah
Tapi iringiku keberkatan yang sedia ada.

Thursday, 25 October 2012

Syahadah

Apakah kita mengerti apa itu Syahadah?
Lafaz yang dileraikan sebagai syarat
Islam menjadi hidayah
Al-Quran sebagai panduan hidup umat.

Ucaplah dua kalimah syahadah
"Aku bersaksi tiada Tuhan yang sebenarnya
Dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah utusan Allah."

Tapi nanti dulu
Kita bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah utusan Allah
Mana mungkin bersaksi kalau kita tidak melihat
Mana mungkin bersaksi kalau kita tidak bersemuka
Tapi nanti dulu
Kita bersaksi bukan dengan mata
Tapi dengan rasa, hati dan cipta.
Itulah namanya bersaksi.

Siapa kita untuk menilai
Kalau diri sendiri tidak ternilai
Allah dengan kita tidak ada masalah
Melainkan kita dengan Allah sahaja yang bermasalah
Jika doa manusia sering dikabulkan
Jika permintaan manusia dikabulkan
Nescaya tiada makna hidup ini
Nescaya semua manusia akan senang
Tiada yang susah
Tiada yang berduka.

Allah itu Maha Adil
Kitaran hidup ini akan berakhir
Dengan kehendak-Nya
Pada bila-bila masa jua
Hanya tinggal kita sahaja yang mencari jalan pulang.



Sunday, 14 October 2012

Mindanao

Mindanao
Pulau yang penuh dengan janji
Didiami oleh mereka yang taat beragama
Lautannya biru bercerminkan langit yang indah

Mindanao
Pulau mutiara
Sumber yang satu penyambung nyawa negara
Hidup sentosa dan penuh keamanan

Kini semua itu hampir punah
Mindanao
Seakan menjadi medan pertumpahan darah
Tiada siapa yang menegakkannya

Setiap hari nyawa diperjudikan
Setiap hari peluru akan berterbangan
Setiap detik badan akan bergelimpangan
Setiap detik keluarga akan kehilangan

Bantulah Mindanao
Kita juga manusia
Kalau tiada harta
Kalau tiada keluarga di sana
Mustahil tiada masa
Berdoalah agar hidup mereka sentiasa dilindungi oleh yang Maha Esa.



Thursday, 11 October 2012

Hakikat


Mata ini sering melihat
Teliga ini sering mendengar
Mulut ini sering berbicara
Setiap detik dan setiap hari
Ada sahaja yang tersingkap
Ada sahaja yang terbiar
Ada sahaja yang dikejami.

Baru kiniku sedari
Ramai manusia bertopeng
Mereka bernafas di sekeliling kita
Melontari madah bak puisi
Tetapi semuanya kosong
Tidak bernilai tidak setia.

Lihat tangga di sana
Ianya tinggi umpama tiada penghujungnya
Ilmu ada dua
Yang lahir pada kertas
Dan yang lahir dari ikhlas.

Dari kertas
Mereka akan terus memanjat
Mereka hina yang di bawah
Dari ikhlas
Mereka akan berusaha memanjat
Walaupun mereka tahu harapan itu sudah punah.

Inilah kita
Semakin berpelajaran tinggi
Semakin  pelupa
Hiduplah berpada-pada
Tiada makna hidung yang tinggi
Esok lusa ke tanah jua.

Monday, 1 October 2012

Dari Satu Titik


Tidak akan salji gugur di tanah ini
Segenggam padi tak akan berubah menjadi nasi
Bila putaran itu sudah sempurna
Tanya pada diri
Tepuk dada sendiri
Adakah kita bersedia.

Dari satu noktah
Tercipta gambar kehidupan
Dari satu benih
Tumbuhnya berjuta-juta akar
Dari satu ayat
Bertitilah ia dari mulut ke mulut.

Pergolakkan hidup hanya kita yang tahu
Orang lain tak akan mengerti
Kalau kita tak berbicara
Di jalan yang gelap lagi buntu
Apa yang kita cari
Kalau hidup Cuma terbiar umpama sisa.

Hari ini aku seorang penulis
Esuk mungkin aku seorang pelukis
Hari ini engkau seorang pembaca
Esok mungkin engkau seorang pengkritis

Hidup ini akan sentiasa berubah
Yang baik akan berubah buruk
Yang muda akan bertukar tua
Yang jahat akan baik
Tapi tanya pada diri
Atas siapakah semua ini?

Dari satu titik
Ia akan tersebar menjadi lautan
Dari satu punca
Ia akan menjadi beribu masalah
Dari satu Tuhan
Ia akan menyatukan
Dari satu titik
Kita akan kembali.