Sunday, 29 July 2012

Aku Fathur Satriawan: Bahagian Keempat


Bak kata bidalan, jauh perjalanan luas mata memandang. Aku tinggalkan tanah airku dan kini aku menjejak kaki di bumi yang belum pernahku pijak. Suasana di terminal agak sibuk yang mana pelbagai bangsa datang dan pergi. Aku merasa seakan ingin kembali ke pangkuan isteri dan anak, tetapi itu sudah terlambat. Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Selama 4 jam aku berada di lapangan terbang bukan kerana ada masalah paspot, tetapi aku terduduk diam memikirkan ke mana harus aku tuju dan kepada siapa aku ingin meminta bantuan. Barulah aku sedar bahawa kedatanganku itu adalah tergesa-gesa sehinggakan tidak menyiapkan diri sepenuhnya. Aku sangkakan negara ini kecil, padahal aku salah. Inilah dia yang dinamakan ibu kota. Itu baru satu masalah dan masalah yang lain pula adalah mengenai pas sebagai pelawatku hanya sah digunakan selama 3 minggu sahaja selepas itu harus disambung dan jika sebaliknya, tindakkan akan menyusul. Bagaimana aku ingin membayarnya jika tidak mempunyai perkerjaan dan juga aku tidak mungkin pulang kerana di desa semuanya sudahku gadaikan. Selangkah aku berjalan memikirkannya rupa-rupanya aku sudah jauh meninggalkan lapangan terbang. Aku diiringi panas terik dan kenderaan yang mundar-mandir. Aku yang pada ketika itu agak kebinggungan tiba-tiba terlihat satu bangunan yang bergema memanggil umat manusia untuk menyembah-Nya. Aku bersyukur walaupun diduga tetapi hatiku masih ingat akan Sang Pencipta. Dengan penuh keredhaan aku mendekati masjid yang berdirinya megah ditengah-tengah sebuah kota yang besar. Mungkin sahaja ibu kota yang satu ini tidak sekejam ibu tiri. – Fathur Satriawan

No comments:

Post a Comment