Saturday, 2 June 2012

Pengembara dari Morocco





Assalamualaikum dan salam sejahtera para pembaca sejagat di luar sana. Izinkan saya mengongsikan pengalaman saya bersama dengan salah seorang leluhur keturunan pengembara Islam yang terkenal pada sekitar kurun ke-14 iaitu tuan Milaud Dauiri.

Febuary 2011,

Saya mendapat perkhabaran yang beliau berada di negara ini melalui daripada sebuah agensi media massa. Pada ketika itu saya berkerja sebagai ‘Freelancer journalist’. Alhamdulilah saya juga berterima kasih kepada Azim Karim, seorang wartawan yang telah serba sedikit menuntun saya kepada Milaud Dauiri. Saya masih ingat pada hari tersebut saya pergi ke Pusat Belia untuk mencari beliau namun sayangnya pada hari itu beliau tidak ada di sana. Mungkin sahaja beliau sedang sibuk merantau keberberapa tempat di negara ini. Oleh kerana itu, saya pun pulang dengan rasa yang sedikit kecewa dan kembali lagi pada keesokan harinya. Dengan izin Allah, saya bertemu juga dengan Milaud Dauiri.

Beliau yang berbadan agak tegap menyapa saya dengan senyuman yang mengalu-alukan. Buat seketika waktu kami pun bersembang-sembang memperkenalakan antara satu sama lain. Saya dipelawa ke bilik penginapan beliau di Pusat belia yang mana bilik itu dapat menampung dua orang sahaja tetapi ianya sudah cukup selesa. Bilik yang disewa oleh Milaud Dauiri ini telah pun dibiayai oleh Persatuan Pengakap Brunei kerana beliau juga adalah seorang pengakap. Walaupun begitu, Milaud Dauiri berkata ia sudah bersyukur dengan apa jua bentuk bantuan yang diberi. Sifat beliau bukan seorang yang meminta tetapi jika ada rezeki beliau tidak akan menolaknya.

Pengembaraan,

Sambil duduk bersila di atas karpet, Milaud Dauiri pun menceritakan kisah pengembaraannya yang sudah menjangkau hampir 30 tahun yang mana bermula sejak berumur 21 tahun. Saya bertanya apakah yang mendorang belaiu untuk mengambil langkah tersebut dan belaiu membalasnya dengan mengatakan yang beliau tidak ada niat untuk menandingi datuk moyangnya (Ibn Batuta) tetapi ini adalah kerana minat beliau untuk melihat dunia luar. Kita hanya hidup sekali dan amat rugi kalau tidak melihat pergolakan dunia. Kalau Cuma mendengar dan melihat dari media massa, masih lagi belum cukup untuk mengetahui kehidupan di luar sana. Jadinya beliau pun bermula mengembara pada usia yang muda dengan berkenderaan sebuah motorsikal sahaja. Memandangkan beliau berasal dari Morocco, beliau telah memilih untuk menjelajahi kawasan-kawasan yang berhampiran dengan negaranya iaitu Europah. Hingga setahun beliau menjelajah di Europah dan akhirnya beliau kembali semula ke negaranya untuk berkerja sambilan kerana beliau berhasrat untuk pergi lebih jauh lagi.

Berkat usaha beliau yang gigih, akhirnya beliau mendapat wang yang cukup untuk berlayar ke selatan Amerika tetapi pada ketika itu beliau memilih untuk berlayar bersama kapal kargo daripada memilih pesawat terbang yang mewah. Saya hairan lalu bertanya lagi dan beliau berkata,

“Sebagai pengembara pada zaman ini, kita mesti berjimat cermat dengan wang yang kita ada. Walaupun kita harus berkorban. Walupun kita harus tidur di tepi jalanan,. Apa yang menjadi kesulitan bagi kami (pengembara) adalah bukanya tempat makan ataupun tempat tidur, tetapi masalah visa dan wang. Zaman ini tidak sama dengan ratusan tahun yang lalu,”

Negara yang pertama beliau menjejak kaki di selatan Amerika itu ialah Argentina dan dari sana beliau melintasi negara-negara yang lainya seperti: Chile, Bolivia, Uruguay, dan akhirnya di Brazil.

Kesemua negara latin ini beliau telah jatuh cinta dengan sebuah negeri yang bernama Manau yang terletak di Brazil. Di sinilah beliau menetap buat berberapa bulan bahkan mungkin sahaja bertahun-tahun kerana bagi beliau di sinilah lahirnya ketenangan yang beliau dambakan selama ini. Beliau menggambarkan suasana Manau sebagai sebuah negeri yang mempunyai pulau-pulau yang indah, lautan yang biru, rakyat yang hidup harmoni walau mempunyai pelbagai puak dan bangsa tetapi tiada diskriminasi mahupun berbelahan anatara mereka. Semua ini dapat dirasakan oleh Milaud Dauiri pada tahun 1982 ketika usia beliau 23 tahun.

Setelah puas menetap di Manau, beliau kembali mengembara menuju Ekuador, Columbia, Venezuela, Panama , Costa Rica, Nicaragua, Honduras, El Salvador, Guatemala, dan mengakhiri penjelajahan belai di selatan Amerika dengan menyeberangi negara Mexico untuk menuju ke Amerika Syarikat.

Beliau menyatakan yang negara-negara di selatan Amerika ini mengambil masa hampir 2 ke 4 tahun untuk mengembara tertakluk kepada seberapa besar negara tersebut. Beliau yang tidak mempunyai sebarang kenderaan hanya dibantu oleh berberapa organisasi dan juga kemudahan awam yang terdapat di setiap negara itu. Bukan mudah beliau mengatakan untuk menjadi seorang pengembara. Kita perlu ketahanan mental dan juga keberanian untuk mencuba hidup dikalangan perimeter yang baharu. Oleh kerana sifat beliau yang sedemikian, beliau dengan lancarnya boleh bertutur dalam pelbagai bahasa asing seperti diantaranya Bahasa Perancis, Bahasa Portugis, dan Bahasa Spanyol.

Kehidupan di Amerika Syarikat,

“Kamu tahu berapa banyak negeri yang ada di Amerika?Mereka ada 53 Negeri,”

Nyata Milaud Dauiri kepada saya. Beliau juga menyambung dengan menyatakan bagaimana setiap negeri itu seperti negara rakan sejawat yang pernah beliau lawati.

“ Negeri Texas seperti Perancis, California seperti Italy, New York seperti Germany.”

Saya pun tersenyum seketika namun inilah pandangan beliau yang telah tinggal dan berkerja di Ameria Syarikat selama 2 tahun dan beliau juga sudah menjejak kaki kesemua 53 negari di Amerika Syarikat.

Pengelaman Milaud Dauiri yang hidup di sana tidaklah seperti yang di anggapnya. Beliau terpaksa hidup di persekitaran wilayah yang kurang elok dan adakalanya dikalangan wilayah yang mempunyai perkauman yang sangat dahsyat. Walaupun begitu, rakyat di sana memahami bahawa Milaud Dauiri hanyalah seorang pengembara yang tidak ingin campur tangan dengan hal ehwal kejadian pada ketika itu. Tetapi beliau tetap menyifatkan rakyat di sana sebagai rakyat yang baik dan peramah. Apabila ditanya dari manakah beliau mendapat bantuan dari segi kewangan dan juga sukarelawan, beliau mengatakan yang beliau akan menuju ke embasi Morocco dan mereka sudah pasti akan menolong beliau sehinggakan beliau mendapat perkerjaan sementara sebagai seroang tukang masak.

Saya terkejut apabila melihat berberapa gambar yang beliau lihatkan kepada saya sewaktu beliau berkerja sebagai tukang masak di sana. Kenapa saya terkejut? Ianya amat ketara kerana ukuran badan beliau pada waktu temu bual saya itu jauh berbeza dari pada gambar-gambar yang beliau lihatkan itu. Sambil ketawa beliau pun berkata yang dahulu sewaktu berkerja di restoran tersebut, beliau sering makan sehinggakan berat badan beliau naik. Tidak lama selepas meninggalkan perkerajaan sebagai tukang masak. Dengan hasil titik peluh yang dicari siang malam, beliau akhirnya membeli sebuah kenderaan jenis caravan yang mempunyai katil dan bilik air di dalamnya dengan harga US$700.

Dengan kenderaan inilah beliau membuat perjalanan dari satu negeri ke satu negeri yang lain sehinggakan beliau sampai ke negara Canada. Sewaktu menjalani hidup di Amerika Syarikat, ada berberapa pertubuhan dan sukarelawan yang perihatin terhadap beliau dan dengan itu mereka memberikan beliau tikit untuk pulang menjengguk keluarganya di Morocco. Milaud Dauiri menggunakan peluang ini sebaiknya memandangkan keadaan kewangan beliau pada ketika itu agak merosot, jadinya beliau pun pulang ke tanah airnya. Selama 2 tahun beliau menetap di Morocco berkerja sebagai pemandu lori, akhirnya beliau kembali ke Amerika Syarikat dan meneruskan perjalanan beliau untuk menuju ke Kutub Utara. Beliau tidak menyatakan berapa lama beliau tinggal di Canada kerana kelihatanya beliau kurang senang untuk menceritakanya tetapi yang pasti beliau tinggal di sana agak lama dan berulang alik dari Canada ke Kutub Utara. Mungkin sahaja ada cerita misteri disebaliknya dan saya tidak mahu menlanjutkan tentang perkara tersebut.

Pada tahun 2005 barulah beliau kembali semula ke Morocco untuk menetap selama 5 tahun di sana. Sudah tentu beliau sangat merindui keluarga beliau di sana.Milaud Dauiri mempunyai 3 orang anak bernama Abraham, Mariam dan Yusef. Kesemua mereka ini telah pun berkerja sepenuh masa dan isteri beliau adalah serorang suri rumah tangga yang gemar memasak roti. Setelah terlepas rindu yang sekian lama, beliau kembali mengembara ke utara Afrika.

Afrika,

Beliau melalui negara-negara yang ada di wilayah utara Afrika seperti Mauritania, Senegal, Mali, Niger, Nigeria, Tunisia, Libya, Mesir, dan Sudan. Selesai sahaja beliau melalui Sudan, beliau menyeberangi lautan merah (Red Sea) untuk menuju ke Arab Saudi dan akhirnya berhenti di Abu Dhabi negara Arab Emirates. Saya juga betanya kenapa beliau tidak menyambung penjelajahan beliau keseluruh Afrika dan beliau menjawap sambil tersengih,

“Afrika itu besar dan jika saya ingin mengembara kesemuanya mungkin akan mengambil masa 2 ataupun 3 tahun. Memandangkan saya tidak mempunyai kewangan yang cukup jadinya cukuplah dengan apa yang saya ada. Afrika juga sebuah negara yang tidak diduga. Di sana seolah-olah tiada sempadan dan jika saya ingin mengembara ke pendalaman Afrika sudah tentu saya akan dibaham oleh singa,”

Brunei Darussalam,

Untuk makluman para pembaca, Milaud Dauiri telah mendengar cerita-cerita yang menarik mengenai negara ini sekaj 25 tahun yang lalu sehinggakan beliau tidak percaya akan cerita yang disampaikan oleh orang lain hingga beliau melihat sendiri dengan mata kepala beliau. Dari Abdu Dhabi, Alhamduliah beliau sampai jua ke Negara Brunei Darussalam. Beliau pernah mendengar cerita mengenai kewibaan sultan negara ini iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Beliau difahami yang mana tidak ada sultan di dunia ini yang mempunyai sifat sebaik dan semulia Sultan Brunei Darussalam. Bukan sahaja itu beliau juga ditaburi dengan betapa indah dan amanya negara ini.

Apabila sampai di sini, ternyata ianya benar seperti yang diuar-uarkan oleh mereka yang pernah ke negara ini. Apa yang membuat beliau terpenggun ialah negara ini amat mengutamakan Islam dan bukan sahaja itu tetapi mempraktikanya sebagai tabiat kehidupan seharian. Tidak seperti negar-negara yang lain, Negara Brunei Dasrussalam amat berbeza dan unik dengan caranya yang tersendiri. Oleh kerana ketiadaan embasi Morocco di negara ini, beliau terpaksa singgah sejenak ke Indonesia dan beliau Cuma diberi tempon 5 bulan untuk berada di negara ini. Beliau mempunyai hasrat untuk bertemu dengan Kebawah Duli dan ingin melihat lebih banyak lagi kehidupan di negara ini. Beliau yang sudah berumur 52 tahun masih lagi sihat dan seolah-olah menpunyai tenaga seorang remaja yang berumur 20 tahun. Saya pun mengakhiri temubual saya dengan Milau Dauiri pada petang itu dan sebelum saya meninggalkan beliau saya berkata,

“Kalau ada apa-apa lagi yang dapat saya bantu, Insya-Allah akan saya bantu semampu saya,”

Saya pun memeluk dan memberi salam kepada beliau. Sempat juga saya memberikan nombor telfon saya kepada beliau sekiranya memerlukan sebarang bantuan.

Mac 2011-Jun 2011,

Semenjak perkenalan kami itu, hubungan kami semakin rapat dan kami juga saling mennyakan khabar masing-masing. Saya juga sempat membawa beliau keberberapa tempat yang sangat istimewa di negara ini. Malanya saya tidak dapat memenuhi hasrat beliau yang ingin bersua dengan Kebawah Duli. Dalam tempoh waktu di antara Mac hingga Jun, keadaan kewangan beliau agak merosot dan beliau terpaksa hidup dengan apa yang ada sahaja iaitu dengan belas kasihan orang ramai. Alhamduliah masyarakat kita ini bukanlah masyarakat yang camah mata tetapi amat perihatin akan sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan. Saya sendiri pun merasa simpati atas kesusahan yang beliau hadapai tetapi beliau tetap tersenyum riang seolah-olah tiada yang menganggu fikiranya. Kenapa beliau masih berada di negara ini sedangkan beliau boleh pulang ataupun meneruskan pengembaraanya ke tempat yang lain? sebenarnya beliau yang berhasrat untuk bertemu dengan Baginda Sultan, telah pun pergi ke Istana Nurul Iman untuk memberikan sepucuk surat untuk dibaca oleh Baginda Sultan. Surat beliau memang diterima tetapi telah di maklumkan bahawa beliau tidak usah menunggu jawapanya kerana belum tentu surat itu akan sampai. Saya pun tidak tahu mengenai hal ini sehingga beliau berlepas dari lapangan terbang. Dengan bantuan berberapa orang, beliau dapat membeli sebuah tikit ke Indonesia untuk meminta bantuan kepada embasi Morocco di sana.

Sebenarnya hajat beliau ingin meneruskan perjalanan menuju ke papua dan akan mengakhiri pengembaraan beliau selama 30 tahun ke Australia. Walaupun hajatnya tidak kesampaian namun Milaud Dauiri tetap tersenyum. Beliau ada juga menyatakan yang beliau ingin mengarang sebuah buku berjudul “Ankel Batuta” sekembalinya nanti dari pengembaraanya. Namun saya hanya dapat mendoakan keselamatan beliau dan semoga perjalananya dipermudahkan oleh-Nya. Adakalanya saya merasa bersalah kerana tidak mampu untuk membantu beliau kerana beliau jenisnya seorang yang suka memendamkan hajat dihati. Dari bulan Mac hingga Jun kami berkongsi pengalaman, budaya dan memenfaatkan waktu yang ada. Saya menganggap beliau seorang sahabat dan juga guru pada masa yang sama. Sebelum bertolak menuju ke terminal penerbangan beliau mengingati saya dengan berkata,

“Go, Go and see the world. You will never regret it. It will make you cry and it will make you smile-pergi, pergilah dan lihat dunia. Kamu tidak akan menyesalinya kerana ianya akan membuatkan dirimu menangis dan juga ketawa.”

Milaud Dauiri pernah menerangkan maksud ini kepada saya yang mana erti “it will make you cry” adalah kita akan menangis apabila kita melihat kehidupan di luar sana kerana kita terbayangkan betapa kerdilnya kita sebagai makhluk Allah dan betapa beruntungnya kita sebagai rakyat Brunei dan “it will make you smile” bererti kita akan belajar bersyukur dengan apa yang ada dan melihat bahawa hidup ini lebih bermakna kerana Allah menjadikan Dunia ini bulat untuk kita jelajahi dan bukan untuk kita hancuri.

Dengan itu saya akhiri dengan Assalamualaikum dan terima kasih atas masa yang anda berikan

Tuesday, 1 May 2012

Jalanan sepi

Dalam perjalanan menuju destinasi
Dingin embun
Bertemankan sepi.

Aku melirik di jandela hidup
Melihat dunia
Dengan wajah kian redup.

Di bibir takdir aku mengorak langkah
Mempertaruhkan nasib badan
Setiap saat pasti akan ada yang berubah.

Ingin ku membongkar rahasia
Tapi tidak terdaya
Kerana kuncinya ada pada siapa.

Roda tetap berputar
Tapi fikiran terhenti
Mengenangkan saat yang berdebar.

Di mana dan mengapa
Bila dan kenapa
Unggun mimpi kekal membara.

Di tepian jalan yang sunyi
Tiada nyawa tiada bunyi
Aku berhenti melihat diri ini.

Semua bagai mimpi dalam mimpi
Bila menanti hadirnya mentari
Yang terbitnya di kaki langit.

Saat itu amat berharga
Kerana itulah kehidupan mula kelihatan
Berlegar mencari tempat mereka.

Sampai bila kita akan melihat mentari
Sejauh mana perjalanan kita
Mungkin dan mungkin sahaja disuatu hari nanti.

Sunday, 29 April 2012

Secangkir kopi: Sudah lama

Sudah lama jari jemari ini tidak mengetik kekunci komputer riba ini untuk mengukir isi hatiku. Ada kalanya rakan-rakan bertanya ' eh, Kenapa kau tidak menuilis lagi?'
Jujurnya aku bukan seorang penulis yang inginkan nama. Aku menulis bila hatiku mengetuk pintu naluri. Memang agak lama aku sudah tidak menulis sebarang puisi tetapi ada waktunya bila kita perlu berhenti sejenak daripada menulis. Bukan kerana malas ataupun sudah tidak berminat dalam penulisan puisi sebaliknya saya inginkan ruang untuk bernafas.

Saya juga seperti anda semua. Ada tanggung jawap pada tugas, keluarga dan juga pada diri sendiri. Kalau ikutkan hati, Saya ingin menulis setiap hari. Bangun pagi terus menatap komputer riba dan bila malam menyapa, aku mampu menyiapkan berberapa cerepen bahkan mungkin separuh dari mini novel. Tapi itu semua cuma andaian sahaja, aku tidak mampu melakukan itu kerana aku juga ada tugas untuk menyara hidup ini.

Hari ini barulah saya dapat menulis sebuah puisi. Itupun bagiku sudah cukup baik. Dalam penulisan, saya tidak begitu mencari kesempurnaan sesebuah tulisan itu tetapi cukuplah hati dan mata orang ramai melihatnya dan faham akan maksud yang disampaikan. Bicara mengenai kesempurnaan ini, saya teringat akan kata-kata dari seseorang Ulama yang berkata ' Jika kita terlalu mengerjar kesempurnaan, nescaya kehancuran pula yang akan kita genggam.'
Jadinya dalam hidup ini tidak ada yang sempurna cuma yang ada hanyalah baik. Dunia pada ketika ini jauh berbeza dari apa yang saya bayangkan dahulu. Di mana-mana manusia akan mengejar kesempurnaan namun meninggalkan apa yang wajib di lakukan. Saya juga ingin mengingati diri saya sendiri dan juga pada siapa-siapa yang membaca blog ini.
                                                                          " Hidup tidak susah kalau kita mengikut arahan yang diberi, Jalan lurus kita hala dan jalan yang denai kita hindari. Berdoa dan ingat kepadanya agar nanti hidup tidak sia-sia. Tiada manusia yang hidupnya jujur, tiada manusia yang hidupnya sempurna, tiada manusia yang hiudpnya kekal. Engkau dan aku juga setiap hari akan dihinggapi dosa-dosa yang halus bak debu namun setiap hari itu juga perlunya kita ingat kepada-Nya dengan zikir, solat dan selawat.\"

sekian dari saya
Muhamad Najib Abdullah

Warkah biru

Engkau yang nun jauh di sana
Engkau yang ku rindui
Laksana bulan di angkasa
Setiap hari aku menanti.

Ku utus warkah biru
Dengan sekalung doa ingin bertemu
Tapi Tuhan belum merestui
Mungkin dilain waktu dan hari.

Ku mohon jangan gundah
Walau jasad berjauhan
Hati tetap tak terpisah Setiap
langkah dan pada setiap hembusan.

Kata-kata ku ini tidak seindah punjanga
Asal engkau mengerti
Betapa aku rindu pada mu
Selagi itu akan ku tulis warkah ini
Hingga ke saat engkau tiba di sisi.

Saturday, 31 March 2012

suatu hari


Suatu hari akan aku lihat kembali
Sisa hidupku yang dahulu
Banyak cerita dan pengajaran
Suatu hari ia akan hadir
Dan bila ia hadir
Akan aku sambut dengan ketenangan.

Tangisan tidak akan membentuk impian
Hari ini mungkin pasti akan berlalu pergi
Hari esok tetap menyambut kita
Suatu hari kita akan melihat kembali
Apa makna disebalik masa lampau
Adakah kita akan tertawa atau dilinangi air mata.

Suatu hari
Itu sahaja yang aku ingatkan
Kepada rakan taulan
Kepada insan dan kepada diri sendiri.

Warna hidup tidak pernah pudar
Walau seburuk mana nasib kita
Tuhan ada rencangan buat kita semua
Suatu hari
Walau bukan hari ini
Tetapi suatu hari

Hidup mungkin lebih baik
Penuh pedoman penuh keinsafan
Tapi bagi mereka yang lupa
Suatu hari ia akan memakan diri sendiri
Tiada yang kekal dan tiada yang sempurna
Engkau dan aku pasti mengerti

Suatu hari nanti
Ia akan mengamit diri
Mengusik hati yang sepi
Mengingati apa yang dilupai
Suatu hari ianya sudah pasti
Di sana ia menanti kita semua.

Saturday, 17 March 2012

Kerdip lilin


Aku meraba jalan di hadapan
Menoleh ke kiri dan kanan
Aku sahut nama rakan taulan
Sehingga lemah seluruh badan.

Aku tersungkur
Rebah tidak bermaya
Ingin aku berkhabar
Tapi siapa yang mendengarnya.

Hanya satu kerdipan
Itu sahaja yang aku minta
Untuk menyuluh jalan
Agar dapat melihat dunia.

Mata ini semakin layu
Nafas seakan terhenti
Disaat itu
Baru aku mengerti
Apa nilainya hidup bila kita sudah kehilangan.

Monday, 12 March 2012

Siapa kita


Siapa kita untuk mengata
Siapa kita untuk bersuara
Siapa mereka untuk mengarah
Siapa mereka untuk marah.

Apa yang aku ada
Apa yang engkau ada
Sekeping kertas
Sebatang pena.

Aku melihat hidup sejagat
Tangis dan menangis
Tawa dan ketawa
Takut dan ditakuti.

Hai bumi yang tua
Adakah engkau masih terlena?
Dibuai mimpi yang tiada makna
Nenyak bagaikan tiada dosa.

Aku tahu aku siapa
Siapa tahu aku siapa
Tahu aku
Tahu kamu.

Kalau hidup masih membenci rakyat sendiri
Biarlah engkau bina pulau sendiri
Hiduplah engkau di sana nanti
Tiada berteman dan tiada berpedoman.